|  | 
| gambar hiasan =) | 
even entry yang agak panjang, relakanlah mata anda untuk menari ke kiri dan ke kanan, baris demi baris demi menambahkan ilmu pengetahuan. jadikan diri kita pencinta ilmu2 Allah. lebih banyak yang kita pelajari, lebih banyak yang kita tidak tahu. happy reading + sharing ! moga bermanfaat. insyaAllah :)
Kita sering mendengar cerita bahawa Hawa diciptakan daripada tulang  rusuk Adam. Sehingga terdapat ungkapan yang mengatakan wanita dijadikan  daripada tulang rusuk supaya yang dekat dengan hati dan supaya sering  didampingi serta diingati dan bermacam-macam lagi. Begitu juga, hampir  semua kitab-kitab tafsir menyebutkan kisah penciptaan Hawa dan menjadi  asas kepada ulama tafsir ketika menjelaskan maksud ayat pertama surah  al-Nisa’. (Sila lihat Tafsir at-Tabari, Tafsir al-Baidhawi, al-Kahzin  dan lain-lain)
Kenyataannya ialah tidak ada satupun ayat  al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. yang jelas menyebutkan hakikat  kejadian Hawa. Al-Quran tidak menyebutkan Hawa dicipta daripada Adam  tetapi manusia itu dicipta daripada jiwa yang satu. Apa yang disebutkan  di dalam Al-Quran ialah manusia itu diciptakan daripada jenis yang sama  dengannya juga. Seorang manusia tentunya ibu bapanya manusia juga bukan  makhluk yang lain.
Abu A`la al-Mawdudi menulis komentar  bagi ayat pertama surah al-Nisa’ ini: “Umumnya para pentafsir al-Quran  menyebutkan Hawa dicipta daripada tulang rusuk Adam dan Bible juga  menyebutkan perkara yang sama. Kitab Talmud pula menambah bahawa Hawa  diciptakan daripada tulung rusuk Adam yang ketiga belas. Tetapi al-Quran  tidak menyentuh langsung perkara ini dan hadis-hadis yang dipetik untuk  menyokong pandangan ini mempunyai makna yang berbeza dari yang sering  difahami. Oleh itu, perkara yang terbaik ialah membiarkan perkara yang  tidak dijelaskan seperti yang terdapat dalam al-Quran dan tidak perlu  membuang masa bagi menentukan perinciannya.” ( The Meaning of The Quran,  jil. 2 hal. 94)
Menurut al-Mawdudi, hadis-hadis  Rasulullah s.a.w. tidak menyatakan perkara yang sebagaimana yang  tersebar dalam masyarakat Islam iaitu sebenarnya tidak ada satupun hadis  baginda s.a.w yang menerangkan asal- usul kejadian Hawa.
Kaedah  yang sebenar ialah tidak perlu memberatkan diri dalam menentukan  perkara yang Allah s.w.t. tidak menyatakan dengan terang dan jelas.  Contohnya, apabila Allah s.w.t. menyebutkan cerita tentang bahtera Nabi  Nuh tidak perlu bagi kita untuk menentukan apakah saiz dan kapasitinya  atau bahan buatannya. Perincian itu bukan menjadi maksud penurunan  al-Quran. Apa yang penting ialah menjadikan peristiwa tersebut sebagai  iktibar dan pengajaran. Dengan kata lain, Al-Quran bukan kitab sejarah  atau sains tetapi kitab yang memberi panduan hidup kepada manusia supaya  selamat di dunia dan akhirat.
Dalam hal ini Shah  Waliyullah menyebutkan dengan jelasnya. Kata beliau ketika mengulas  kisah-kisah yang diceritakan oleh al-Quran: “Bukanlah maksud  cerita-cerita di dalam Al-Quran untuk mengetahui cerita itu sendiri.  Maksud sebenarnya ialah supaya pembaca memikirkan betapa bahayanya  syirik dan kemaksiatan serta hukuman Allah hasil dari perbuatan syirik  itu di samping menenangkan hati orang-orang yang ikhlas dengan tibanya  pertolongan dan perhatian Allah kepada mereka” (al-`Fawz al-Kabir Fi  Usul al-Tafsir, hal. 138)
Mengapa Berlaku Kekeliruan Tentang Kejadian Hawa Ini?
 Ada beberapa faktor mengapa berlaku kekeliruan dalam memahami makna sebenar ayat ini:
1. Berpegang Dengan Riwayat Israiliyyat
Fasal  yang kedua di dalam Sifr al-Takwin menyebutkan Hawa diciptakan daripada  tulang rusuk kiri Nabi Adam ketika baginda sedang tidur. (Tafsir  al-Manar, jil. 4, hal. 268.) Disebabkan ada riwayat dalam kitab-kitab  yang dahulu, ahli-ahli tafsir terus menganggap ia sebagai sokongan atau  pentafsiran kepada al-Quran. Bagaimana mungkin ayat al-Quran ditafsirkan  dengan riwayat Israiliyyat walhal penurunan kitab-kitab nabi terdahulu  lebih awal lagi daripada al-Quran. Sepatutnya, kitab yang turun  kemudianlah yang menjelaskan kitab-kitab yang terdahulu.
Hadis berkenaan perkara ini mempunyai beberapa versi. Antaranya ialah;
1. Perempuan itu diciptakan daripada tulang rusuk
2. Perempuan seperti tulang rusuk.
3. Perempuan adalah tulang rusuk.
2. Mengkhususkan Keumuman Hadis Tanpa Nas Yang Jelas
Antara  kesilapan dan kekeliruan ialah mengkhususkan lafaz hadis yang menyebut  perempuan kepada Hawa. Hadis-hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah  s.a.w. semuanya dengan jelas menyatakan perempuan dalam bentuk tunggal  atau jamak dan tidak ada yang menyebutkan Hawa secara khusus. Jelasnya,  para pentafsir menyangka wanita dalam hadis tersebut adalah Hawa tanpa  berdasarkan kepada nas yang lain yang menentukan makna yang dikehendaki  oleh Rasulullah s.a.w. itu.
3. Kesilapan Memahami Kata Sendi Nama Min من
Walaupun  perkataan min itu memberi erti “daripada”, “punca sesuatu perkara” atau  “sebahagian”, kata sendi nama min juga mempunyai makna lain seperti  “untuk menyatakan sebab” dan “menyatakan jenis sesuatu perkara”. Oleh  itu, pemakaian huruf ini dalam bahasa Arab adalah luas dan tidak  semestinya terikat dengan satu makna sahaja. (lihat, Ibn Hisyam, Mughni  al-Labib, jil. 1, hal. 319)
Abu Muslim al-Asfahani  mengatakan, maksud menciptakan daripadanya pasangannya ialah  menciptakannya dari jenisnya. (lihat Hasyiah Zadah `Ala al-Baidhawi) Ini  seperti ayat-ayat al-Quran berikut:
وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ  خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا  وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ  لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Dan di antara tanda-tanda yang  membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk  kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya  kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara  kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.  Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang  menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. 
(Surah al-Rum:  21)
فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ  أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الْأَنْعَامِ أَزْوَاجًا يَذْرَؤُكُمْ  فِيهِ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Dialah  yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu  pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan dari jenis  binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu);  dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu  semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya  dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. 
(Surah al-Syura: 11)
وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ  أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ بَنِينَ  وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ
Dan Allah telah  menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan  menjadikan bagi kamu daripada pasangan-pasangan kamu anak-anak dan cucu  dan memberikan rezki kepada kamu daripada benda-benda yang baik. 
(Surah  al-Nahl: 72)
Ayat-ayat ini tidak boleh difahami sebagai  isteri-isteri kita itu diciptakan daripada diri atau jasad kita tetapi  mestilah difahami sebagai “mereka itu dari jenis yang sama dengan kita”.
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
Sesungguhnya  telah datang kepada kamu seorang rasul dari jenis kamu, yang amat berat  baginya kesusahan kamu, sangat berharap akan keimanan kamu dan sangat  kasih serta menyayangi kepada orang-orang yang beriman. 
(Surah  al-Taubah:128)
لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ  إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ  آَيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ  كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ
Sesungguhnya  Allah s.w.t. telah memberikan kurniaan yang besar kepada orang-orang  yang beriman ketika Dia mengutuskan seorang rasul kepada mereka dari  kalangan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka,  menyucikan mereka dan mengajarkan Kitab dan Hikmah. Sesungguhnya mereka  sebelum itu berada di dalam kesesatan yang nyata.
 (Surah Ali Imran:  164.)
Kedua-dua ayat ini dengan jelasnya menyebutkan  Rasulullah s.a.w. yang diutuskan kepada kita adalah dari kalangan  manusia yang sama seperti kita bukan dari kalangan makhluk yang lain  seperti malaikat.
Dengan itu, hadis ini ditafsirkan sebagai sifat dan perasaan perempuan itu daripada jenis yang mudah bengkok.
عن  أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (من كان يؤمن بالله واليوم  الآخر فلا يؤذي جاره واستوصوا بالنساء خيرا، فإنهن خلقن من ضلع، وإن أعوج  شيء في الضلع أعلاه، فإن ذهبت تقيمه كسرته، وأن تركته لم يزل أعوج،  فاستوصوا بالنساء خيرا
Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari  Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga  wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan  daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok  ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu  akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus  bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan  baik.
 (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)
عن أبي هريرة: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: المرأة كالضلع، إن أقمتها كسرتها.
Perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. 
(Hadis riwayat al-Bukhari4889).
Hadis  ini telah dikemukakan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Nikah bab  berlembut dengan wanita. Tujuan al-Bukhari mengemukakan hadis ini ialah  untuk menyatakan sifat fitrah wanita bukannya hakikat kejadian mereka.  Apakah tubuh atau jasad wanita akan mudah patah apabila dikasari oleh  orang lain? Tentu sekali tidak.
عن أبي هريرة. قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن المرأة كالضلع. إذا ذهبت تقيمها كسرتها.
Sesungguhnya  perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya  kamu akan mematahkannya.
 (Hadis riwayat Muslim no: 1468.)
Hadis  ini lebih jelas lagi menyatakan sifat perempuan itu seperti tulang  rusuk bukan diciptakan daripada tulang rusuk. Penggunakan partikel  kaf ك ini bagi menyatakan persamaan antara perempuan dan tulang rusuk.  Sementara ayat yang kedua merupakan sudut persamaan antara kedua-duanya.
Kecenderungan Imam al-Bukhari ketika membuat Tarjamatul Bab di dalam Sahihnya, iaitu:
باب: المداراة مع النساء، وقول النبي صلى الله عليه وسلم: (إنما المرأة كالضلع
Bab berlembut dengan wanita dan Sabda Nabi s.a.w.: Sebenarnya perempuan itu seperti tulang rusuk.
Dengan membuat tajuk begini Imam al-Bukhari tidaklah berpendapat bahawa Hawa itu dijadikan daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam.
Begitu juga di dalam al-Adab al-Mufrad, Imam al-Bukhari mengemukakan riwayat:
إن المرأة ضلع , وإنك إن تريد أن تقيمها تكسرها
Sesungguhnya  perempuan itu tulang rusuk. Jika kamu mahu untuk meluruskannya maka  kamu akan mematahkannya. 
(al-Adab al-Mufrad, no: 747)
Apakah  hadis ini menyatakan hakikat perempuan itu sebenarnya tulang rusuk?  Tentu sekali tidak. Hadis ini merupakah satu bentuk tasybih atau  perumpamaan yang mempunyai nilai balaghah atau retorik yang tinggi di  mana perkataan yang menyatakan persamaan tidak digunakan begitu juga  sudut keserupaan tidak disertakan. Ayat yang kedua boleh juga dikatakan  sebagai bukti bahawa perkataan tulang rusuk tidak difahami secara  harfiah.
Sokongan Kepada Penafsiran Ini
Penafsiran min bukan dengan makna punca atau asal-usul sesuatu adalah sesuai hadis berikut:
عن  أبي قلابة، عن أنس رضي الله عنه: أن النبي صلى الله عليه وسلم كان في سفر،  وكان غلام يحدو بهن يقال له أنجشة، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (رويدك  يا أنجشة سوقك بالقوارير). قال أبو قلابة: يعني النساء
Daripada  Abu Qilabah daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. berada  dalam satu perjalanan. Ada seorang budak yang dikenali dengan Anjisyah  menarik unta yang ditunggangi oleh wanita-wanita. Lalu Rasulullah s.a.w.  bersabda: Wahai Anjisyah! Perlahankanlah kerana yang kamu tarik itu  ialah botol-botol kaca. Perawi, Abu Qilabah, berkata: Maksudnya ialah  wanita-wanita. 
(Hadis riwayat al-Bukhari no: 5857.)
Rasulullah  s.a.w. menggambarkan wanita sebagai golongan yang lembut dari segi  perwatakan dan cukup sensitif. Baginda menyebutkan wanita seperti  botol-botol kaca yang mudah pecah jika tidak dijaga dan diberi  perhatian.
Kesimpulan
Hadis ini  perlu difahami secara balaghah iaitu berdasarkan retorik bahasa Arab.  Rasulullah s.a.w. menyampaikan pesanan ini dalam bentuk tasybih  (perumpamaan) supaya maksud pesanan difahami dengan lebih mendalam.  Tegasnya, supaya pendengar lebih peka dan prihatin bukan memberi  perhatian kepada makna harfiah. Rasulullah s.a.w. membuat perumpamaan  wanita seperti tulang rusuk bukan bermaksud untuk merendahkan kedudukan  mereka tetapi sebagai peringatan kepada kaum lelaki supaya memberi  perhatian kepada mereka, melayani mereka dengan baik, mendidik dan  menjaga hati mereka. Sama seperti lelaki, wanita sama-sama berperanan  untuk menegakkan agama dan menguruskan hal ehwal kehidupan.
Dengan  pemahaman yang betul tentang hadis-hadis ini maka tertolaklah anggapan  bahawa wanita adalah dari kelas kedua kerana kononnya dijadikan daripada  orang lelaki iaitu Adam.
# wallahu'alam. entry ini di share oleh seorang ustaz kepada sahabat di nota mukabuku. jika terdapat sebarang ralat, mohon dikongsi bersama. jzkk :)

 
No comments:
Post a Comment